Banyak perkara akan berkurang dalam diari harian saya setelah Ila berkahwin. Perkara ini saya sedari bila semalam selesai saja acara sanding di pihak lelaki dia datang memeluk saya dan menangis mengucapkan terima kasih.
Antaranya yang pasti akan saya rindu dan tidak boleh lalui lagi bersama dia macam dulu adalah:
1. Bergaduh siapa tidur lebih kawasan sebab kami berkongsi katil queen satu bilik.
2. Berkongsi dan bertukar-tukar baju dan aksesori.
3. Bergossip sebelum tidur pasal hal kerja.
4. Cerita-cerita tentang dating dia dengan suaminya sekarang.
5. Shopping sama-sama.
6. Tengok movie sama-sama.
Dan macam-macam lagi. Ila macam seorang sahabat baik kepada saya. Bukan hanya seorang adik. Teringat saya saat pertama dia bercerita tentang Amira, suaminya sekarang. Tentang bagaimana Amira menyanyikan lagu Dealova untuk mengoratnya. Begitu juga bagaimana saya menemankannya membeli minyak wangi sebagai hadiah harijadi Amira yang pertama mereka sambut sebagai kekasih.
Sebelum Amira, masa Ila bercinta dengan seorang lelaki lain, sayalah penemannya masa berdating.
Semalam selepas melambaikan tangan meninggalkan Ila di Kuala Pilah untuk bersama keluarga mertuanya, barulah hati saya menangis sebab teringat yang saya sudah tidak berkongsi bilik lagi dengannya. Rahsia cintanya hanya akan jadi rahsianya dengan Amira. Saya sudah tidak boleh campurtangan dan menasihatkan dia semacam dulu jika dia sedang bersedih atau bermasalah dalam hal-hal peribadinya.
Patutlah semalam masa Ila memeluk saya, dia menangis beria-ia sampai teresak. Sedang saya masih cool dan mampu kata pada dia supaya jangan nangis. Rupa-rupanya Ila dah dapat rasa yang sekarang ini, saya bukan lagi tempat mengadu yang utama kerana dia sekarang sudahpun isteri orang.
Saya hanya terasa kosongnya bilik ini malam tadi. Bila saya tidak dengar lagi suara Ila panggil "Kak Kiah..." dan bercerita tentang jerawatnya, kawan sepejabatnya atau apa-apa saja sebelum kami tidur. Sekarang sudah tiada masa untuk kami cari rambut gatal sesama sendiri macam dulu.
Suara yang suka menyebut, "Kak Kiah ini territory aku, jangan lebih bantal peluk ni..." sewaktu nak tidur, "Kak Kiah tutup lampu ya" sebelum nak tidur dah takkan kedengaran lagi lepas ni. Sebab Ila sudah punya teman hidup.
Baru hari ini saya terasa semua tu sekarang dah jadi tinggal kenangan. Entah kenapa selepas meninggalkan Ila di Kuala Pilah, baru hari ini saya rasa, dia sekarang sudah isteri orang dan masanya adalah untuk suaminya. Baru hari ini, saat saya menulis tentang perasaan itu saya menangis sejujurnya.